Pages

Friday, May 23, 2014

Dialah Guru..... Sajak hasil karya MB Perak 2014

YAB Dato'Seri Dr Zambry mendeklamsikan sajak
 di Majlis Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Perak 2014



                                         

Dialah Guruku
Yang mengajarku bertatih mengejar ilmu
Waktu tiada huruf dan kalam dari alam fikirku
Tentang ilmu itu adalah penyuluh hidup
Tentang ilmu yang nilai seluruh cakrawala
Tentang ilmu maknanya pembebas kemiskinan
Tentang ilmu pembela dari nestapa



Dialah Guruku
Tekun dan gigihnya melangkau waktu
Sabar dan tabahnya melawan kalbu
Sumpah janjinya mendidik bertalu
Tanpa bertanya siapa kerabatmu
Dari mana usulmu, di mana tinggalmu

   


Dialah Guruku
Yang menyeberang laut saban pagi
Yang menghuni di pulau yang sepi
Yang hidup di pedalaman jauh bersendiri
Meskipun ada waktunya mahu saja mohon diganti
Meskipun ada kalanya merajuk hampa usaha tiada dihargai
Meskipun ada ketikanya air mata menjadi teman sejati

 Dialah Guruku
Yang mengkhabarkan erti lulus dan gembira
Yang mengingatkan gagal dan hampa
Yang menyakinkan diri mendaki ke puncak jaya
Mencapai kemenangan menolak kekalahan
Apabila ilmu menjadi kunci dan paksi
Yang setitik berembun menjadi lautan raya

Dialah Guruku
Yang berhempas di padang
Menitip bakat meluang dan seladang
Di luar kelas membawa murid bagai
Menjaga sang putera puteri raja
Kerana kalau terjadi apa guru jua yang diterpa
Meninggalkan keluarga yang dicinta
Buat mengukir nama anak bangsa

Dialah Guruku
Yang tidak jemu meluang
Melahirkan insan terbilang
Meski jasanya seiring terlepas pandang
setiap kali keputusan terpampang

Dialah pelita, dialah perigi, dialah pelangi
Setiap ajarnya menemukan yang dicari
Setiap tuturnya diikuti jika mahu menjadi
Setiap tegurnya dipatuhi untuk membina diri
Setiap didiknya membantu peribadi

Dialah Guruku
Pada namanya yang dihormati, ada kalanya digeruni
Semuanya disimpul pada darjat dirinya yang tetap disanjungi
Walau tidak lagi bergaji berjawatan tinggi
Walau usia memamah diri
Harum namamu masih kekal kupanggil Cikgu yang bestari

Dialah Guruku
Dialah pendidik
Dialah Cikgu

22 Mei 2014
YAB Dato' Seri DiRaja Dr Zambry bin Abdul Kadir
Menteri Besar Perak


Sajak yang yang ditulis sendiri oleh YB sebagai menghargai jasa guru khasnya guru-guru yang pernah mengajar beliau. Seramai 6 orang guru beliau telah hadir menerima penghargaan peribadi daripada beliau di majlis tersebut.
Selamat Hari Guru.. 
Terima kasih Cikgu...

No comments:

Post a Comment